Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim|Sep 26, 2026 08:37
Alhamdulillah, tengah hari tadi saya dapat bertemu keluarga besar alumni UiTM di Shah Alam. Pertemuan ini membawa saya menyingkap sejarah tujuh dekad sebuah institusi yang bermula dengan RIDA, disusuli Maktab MARA dan ITM, sebelum berkembang menjadi UiTM. Ikhtiar tindakan afirmatif ini telah berjaya memecahkan tembok halangan hingga membolehkan anak petani, nelayan, pesawah serta keluarga miskin melangkah ke bidang profesional, lalu mengubah nasib keluarga dan mengangkat martabat bangsa. Saya turut mengenang jasa Allahyarham Tun Arshad Ayub, tokoh yang begitu tegas dalam memperjuangkan mutu dan peluang pendidikan untuk anak-anak Melayu. Beliau juga meninggalkan teladan dalam pengurusan yang cekap, bersih dan amanah, yang mengukuhkan kehebatan ITM Jalan Othman. Mengambil semangat ungkapan Roger Garaudy,“Not to bury the ashes of the dead but to rekindle its flame,” saya bersetuju dengan cadangan menamakan Kampus UiTM Jalan Othman, Petaling Jaya sebagai Kampus UiTM Tun Arshad Ayub Jalan Othman, serta meluluskan RM2.5 juta untuk kampus tersebut. Mudah-mudahan nama beliau terus menyemarakkan tuntutan terhadap kecemerlangan dan integriti dalam kalangan warga UiTM. Saya turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI terhadap agenda Bumiputera. Komitmen ini terbukti tatkala pentadbiran inilah yang telah meningkatkan peruntukan mengurus dan pembangunan UiTM daripada kurang RM2 bilion sebelum ini kepada RM3.08 bilion pada tahun ini. Namun setiap ringgit untuk pendidikan dan agensi Bumiputera mesti dimanfaatkan dengan amanah. Ia tidak boleh dikhianati oleh salah guna kuasa, ketirisan atau amalan sakau. Pada masa sama, saya meminta alumni UiTM memilih kira-kira 10 tokoh daripada pelbagai disiplin untuk menilai program utama agensi Bumiputera, khususnya UiTM, serta mengemukakan teguran dan cadangan yang jujur. Kita mesti berani mengenal pasti kelemahan sendiri jika mahu mengangkat UiTM menjadi pusat kecemerlangan akademik yang lebih unggul. Dalam sesi soal jawab, saya mendengar keresahan mahasiswa tentang peluang pekerjaan dan gaji yang setimpal selepas tamat pengajian. Langkah yang lebih tegas untuk menangani soal gaji dan upah sedang diteliti dan, insya-Allah, akan diumumkan dalam Belanjawan akan datang. Saya juga tidak mahu kita terlepas pandang mahasiswa daripada keluarga miskin yang masih bergelut untuk mendapatkan makanan yang mencukupi. Kesulitan asas ini mesti ditangani. Seorang alumni turut membangkitkan persoalan tatakelola UiTM Holdings yang didakwa mengalami kerugian lebih RM100 juta. Saya mengalu-alukan penelitian bersama pihak alumni dan pengurusan UiTM, dengan kerjasama pejabat saya. Kita perlu memperbaiki sebarang kelemahan dan mengambil tindakan jika siasatan menemukan kecurangan. Inilah amanah yang saya harapkan dapat dipikul bersama oleh warga UiTM dan alumninya: mempertahankan peluang untuk anak-anak Melayu dan Bumiputera, memelihara hak serta keharmonian seluruh rakyat, dan memastikan institusi kita ditadbir dengan bersih. Semoga api perjuangan tokoh terdahulu terus menyala melalui ilmu, akhlak dan tindakan kita hari ini. #MalaysiaMADANI #YakinMADANI
+3
Mentioned
Share To

Timeline

HotFlash

APP

X

Telegram

Facebook

Reddit

CopyLink

Hot Reads