
Anwar Ibrahim|May 23, 2025 11:32
Sewaktu berucap merasmikan Program MADANI Rakyat Negeri Johor di Johor Bahru, saya tegaskan keperluan agar suara anak muda diberi pertimbangan serius. Mereka adalah penentu hala tuju negara, datang dengan semangat baharu, cita-cita murni dan tekad untuk melihat Malaysia yang lebih adil, bersatu dan bermaruah.
Saya melihat sendiri di Johor bagaimana anak-anak muda tampil berani dengan idealisme yang segar. Mereka senang dengan kebaikan, senang dengan keadilan, senang dengan perpaduan, dan pada masa sama membenci penyelewengan, kezaliman, rasuah dan penindasan.
Kerana itu, ruang dan peluang harus terus dibuka untuk mereka sama ada dalam kegiatan ilmiah, sosial, seni, budaya atau sukan, selagi ia terpimpin dengan adab, hikmah dan nilai.
Saya turut tegaskan bahawa pembangunan sesebuah negara tidak boleh hanya disandarkan pada fasad dan angka. Ia juga mesti diukur pada jiwa bangsanya yakni akhlak, adab dan kesantunan. Apa makna kemajuan jika rakyat saling membenci kerana warna kulit, agama atau keturunan?
Anak muda harus menjadi contoh kepada golongan tua yang dibelenggu kebencian dan fahaman melampau. Mereka mesti tampil ke hadapan memimpin semangat MADANI tanpa mengorbankan identiti bangsa, agama dan budaya sendiri.
Alhamdulillah, ekonomi negara kini menunjukkan perkembangan yang meyakinkan. Malaysia juga muncul sebagai hab semikonduktor serantau. Dengan kemasukan pelaburan syarikat seperti NVIDIA, Infineon dan MaiStorage, peluang pekerjaan bernilai tinggi terbuka luas untuk anak muda.
Namun untuk mempertahan dan melonjakkan prestasi ini, kita perlu kekal bersatu dan menolak segala bentuk fitnah serta perpecahan. Rasuah dan kerakusan kuasa mesti ditolak habis-habisan. Jangan biar pemimpin mengaut kekayaan untuk diri dan keluarga mereka.
Harapan saya besar kepada anak muda—angkat idealisme, tegakkan keadilan, dan teruskan perjuangan menyusun masa depan negara yang bebas, bermaruah dan berperikemanusiaan.
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Share To
Timeline
HotFlash
APP
X
Telegram
CopyLink